Epilog
Semalam hidayahNya pernah menyentuh hatiku. Hingga saat itu tiada lagi
air mata yang hendak ditangisi. Getaran dihati hingga menggegarkan
seluruh jasad. Membuat langkah penuh himmah. Madah penuh hikmah.
Tapi sungai itu tak selalunya tenang.
Saat ini aku diuji. Rintangan yang membuatkan aku jatuh tersungkur.
Namun, Perlahan aku mendongak kembali ke langit. Air mataku masih
mengalir deras. Longlai seluruh tubuh. Tiada lagi kekuatan yang
tinggal. Yang ada hanyalah setitis harapan. Diberi kesudahan yang baik
dan pengampunan dari Yang Maha Mengetahui. Dan dengan sedikit kekuatan
yang ada. Aku tempuh hari demi hari yang mendatang.
Dan catatan ini adalah sebahagian dari tulisan perjalanan seorang gadis mencari cinta sejati.
Rindu tenangnya semalam
Jauh ku merenung ke langit ilahi.
Mengenang indahnya semalam. Tidak semena-mena air jernih membasahi
pipi. Ya Allah, sudah jauh aku meninggalkan tenangnya semalam. Iphone
milikku pula tidak berhenti berbunyi. Mesej dan panggilan dari
akhwat-akhwat tersayang sengaja aku biar tanpa balasan. Aku buntu masa
buat ku denganNya. Harap-harap mereka mengerti. Dan aku terus merenung
ke langit.
Sekali lagi telefonku berbunyi.
Untuk mengelakkan mereka risau panggilan itu ku terima.
"Assalamualaikum nur!"
"Waalaikumsalam akak. Akak apa khabar?"
Jawabku berbasa basi.
Dan perbualan ku teruskan seperti biasa. Gurau senda ku tetap begitu. Cuma mungkin bunyinya sedikit hambar dari biasa.
Aku pingin jadi mentari yang terus
menyinar. Biarlah mentari itu menyinar tanpa siapa tahu gelora
didalamnya. Kerna semua gelora itu adalah rahsia antara aku dengan Yang
Esa. Kerna Dia Maha Mengetahui tanpa ku menzahirkan segalanya.
Menanti cahaya
Ada kalanya ku rebah dalam menanti
cahaya. Cahaya itu seolah-olah tidak kunjung tiba. Sebenarnya aku lupa
menggerakkan langkah kaki ini menuju cahaya itu. Pengharapan itu takkan
sempurna selagi kaki tidak melangkah. Makanya ku katakan pada diriku,
Nur,
Ayunkan langkah kakimu
Teguhkan tumuhatmu
"... Sesungguhnya Allah tidak akan
merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada
pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan
terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya. dan
sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Allah."
Ar Ra'd,13:11
"Dan apa sahaja musibah yang menimpa
kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah
memaafkan sebahagian besar dari kesalahanmu."
Asy Syuura,42:30
Di saat itu aku menadah tangan ke langit ilahi.
"Allah..
Hamba redha atas apa yang telah berlaku.
Hamba redha jika begini tulisan hidup hamba. Namun hamba pohon Ya Rabb,
ampunkanlah hamba. Berikan hamba kesempatan untuk menunaikan
janji-janji hamba pada Mu. Lembutkanlah hati hamba ya Allah. Tunjukkan
hamba jalan kembali. Hanya pada Mu hamba meminta. Sungguh hanya Engkau
yang Maha Mengetahui, yang memegang seisi langit dan bumi dan yang
berada di antaranya. Hamba pohon dengan sangat Allah. Ampunilah hamba."
Dalam sendu itu segera kucapai ipod milikku. Sejurus butang play itu ku pasang, lagu "Jika terakhir buatku" nyanyian kumpulan Saujana itu berkumandang.
Setiap bait-bait liriknya menusuk ke kalbuku. Subhanallah. Betapa cantiknya susunan Allah itu.
"Cahaya itu takkan datang pada hati yang tidak mencarinya. Makanya jangan berhenti sayang."
Dengan izin Allah, hati ini masih dahagakan kebenaran. Alhamdulillah..
".. Barang siapa yang menghendaki
kebaikan bagi dirinyatentu dia mengambil jalan menuju Tuhannya. Tetapi
kamu tidak mampu menempuhi jalan itu kecuali apabila dikehendaki
Allah.Sungguh Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana. Dia memasukkan siapa
pun yang Dia kehendaki ke dalam rahmatNya. Adapun bagi orang yang zalim
disediakanNya azab yang pedih."
Al-Insan, 76:29~30
Hikmah sebuah pertemuan
Setelah sekian lama kami tidak bersua,
akhirnya hari itu Allah telah mengatur pertemuan antara kami semua.
Pertemuan yang hambar bagiku. Bukan kerana kasih itu sudah tiada buat
mereka. Dan bukan juga kerana aku tak sayang. Cuma aku buntu waktu.
Waktu buatku menilai kembali hitamnya semalam agar aku dapat bangkit
membina esok yang ceria.
Tapi sungguh Allah lebih mengetahui apa
yang terbaik. Dan disepanjang pertemuan itu sedayaku aku cuba
mengukirkan sekilas senyuman. Walau aku sedar hambarnya dapat dihidu
sebahagian antara mereka, tetapi aku tetap diam membisu. Kerna aku kira
itu yang terbaik saat itu. Andai aku bersuara, sudah pasti air mata itu
akan berjujuran lagi. Aku tak mahu sesiapa risau akan keadaanku. Makanya
aku tetap diam.
Pertanyaan demi pertanyaan datang
menerpa. Semuanya ku balas dengan senyuman. Dengan harapan senyuman itu
sedikit sebanyak dapat meredakan kebimbangan di hati mereka.
"kakak, maafkan saya...."
Bisik hati kecilku.
Bila saat perpisahan tiba, aku dapat
merasai dakapan erat mereka yang aku rindui. Hampir saja getaran di
dalam hati itu mengalirkan titis jernih dimata. Cepat air mata itu aku
seka. Sengaja tak mahu aku tonjolkan kesedihan itu pada sesiapa. Biarlah
hanya hati ini yang menangis sendiri. Dakapan erat mereka x mampu ku
balas. Sekali lagi hati kecilku berbisik.
"kakak, maafkan saya...."
Melihat himmah sahabat lain yang membara
mendukung perjalanan dakwah di sini. Sungguh aku cemburu. Namun aku
redha dengan ketentuanNya. Kerna aku percaya dan aku pasti ada hikmah
disebalik yang terjadi. Dan aku masih mencari dimana hikmahnya.
Ternyata aturan Allah itu adalah yang
terbaik. Walau hambarnya pertemuan yang aku rasai, tetapi ada semangat
mereka yang sempat aku curi dan ku bawa pulang. Agar aku dapat terus
meneruskan perjalananku mencari cinta, dan mengharap maghfirah dari
Murabbi Teragung.
"..... Tetapi boleh jadi kamu tidak
menyenangi sesuatu, padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai
sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu. Allah Maha mengetahui sedang
kamu tidak mengetahui."
Al-baqarah,2:216
Mencari hati yang hilang
Hari demi hari terus berlalu dalam
kegelapan. Namun sedikit demi sedikit cahaya itu semakin bersinar.
Hampir saban malam aku teresak-esak menangisi semalam. Bukan tidak redha
dengan apa yang telah berlaku cuma menyesali kelalaian diri sendiri.
Tidur bersama linangan air mata dosa silam, tenggelam dalam mimpi
mencari cinta Sang Pencipta, dan bangun dengan seribu pengharapan agar
ditemukan kembali sumbu pembakar semangat bagi menemani disepanjang liku
perjalanan masa hadapan.
Semakin aku melangkah dalam kegelapan
itu, tiba-tiba aku berjumpa kembali satu hati yang membawa dua cahaya
cinta yang terang-benderang. Satu cinta yang aku cari dalam setiap
jagaku dari tidur, dan satu lagi cinta tulus yang datang dari sanubari
sang pemberi. Pemberian itu ku sambut dengan gembiranya. Menerima cinta
dari murabbi yang membawa kepada cinta yang kekal abadi.
Esok sudah tidak lagi sunyi. Kerna
cahaya itu cukup terang menerangi jalan yang dulunya gelita. Sumbu
semangat sudah mula menyala. Namun aku masih berharap yang sumbu itu
akan terus menyala dan membara. Kerna aku khuatir andai sumbu itu
terpadam, mungkinkah ia akan menyala lagi seperti sebelumnya. Segera ku
memujuk diriku dengan husnuzon. Aku percaya Allah akan memberikan aku
jalan selagi mana hati ini ikhlas mencari cintaNya. Persoalannya ikhlas
aku dalam menuju jalan itu.
Segera mata itu aku pejamkan. Perlahan-lahan aku menarik nafas. Didalam hati aku beristighfar panjang.
"Nur, renungkan kembali niat asalmu sayang. Ikhlaskan hatimu. Katakan hidupmu matimu hanya untuk Allah!!"
Aku mendongak ke langit. Melihat
indahnya langit ciptaan Tuhan. Biru luas terbentang. Entah bagaimana
kebiruan itu merawat hati ini yang rawan. Subhanallah. Sehingga saat ini
kasih Allah itu tidak pernah putus buatku. Aku masih bernafas. Dan
masih diberi ruang untuk bertaubat, makanya kenapa perlu aku gundah.
Campakkan saja segala kegundahan itu. Serahkan seluruhnya pada Yang Esa.
Kerna Dia yang Maha Tahu.
"Bahkan sesiapa yang
menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula
berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi
Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang
tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."
Al-Baqarah,2:112
Lantas aku bangun, dan meneruskan langkahku. Berbekalkan semangat dan cinta yang baru.
Sinaran cinta
Pagi ini saat mataku buka, sinarnya
ternyata berbeza. Hati ini semakin tenang meniti hari. Sungguh pon
hakikatnya terlalu banyak masalah yang masih membelenggu diri ini.
Tetapi aku mampu untuk memisahkan diri ini dari dunia buat seketika.
Tenang dalam sujudku padaNya. Selesai sahaja salam, perlahan mata ku
pejamkan. Mengasingkan diri dari dunia. Mengembara dalam dunia yang ku
cipta sendiri. Terasa mahu selamanya dalam duniaku sendiri.
Namun hakikatnya aku masih berpijak
dibumi nyata. Yang mana disini masih berbakul-bakul amanah yang perlu ku
pikul. Makanya mata itu kemballi ku buka. Satu per satu setiap tugasan
itu aku susunkan. Aku harus bisa mengatur hidupku. Kerna seorang daie
itu harus bisa mengatur setiap urusannya. Agar tiada langkah yang
sumbang dimana-mana.
Meskipon aku merasai kesibukan
hari-hari, namun cahaya cinta itu buat aku tambah ceria. Sungguh aku
tidak pernah menduga akan dihadiahi cinta ini dari seorang murabbi.
"Terima kasih kakak!"
Sesungguhnya susunan Allah itu Maha
sempurna. Disaat aku terkapai-kapai meninggalkan cinta, Allah
menghadiahkan aku dengan satu cinta yang sangat sempurna. Cinta yang
mendorong hati ini sentiasa mengingati Mu. Cinta yang membawa hati ini
kepada Mu. Dan apa yang mampu ku katakan kini hanyalah, alhamdulillah.
Aku bersyukur atas cinta ini. Dan aku akan terus berlari mengejar cinta
ulung yang Maha Menyintai.
Cinta
Pernah aku ditanya apa itu cinta buatku. Dan apa yang aku harapkan dari cinta itu. Dan jawabku apa yang ku harap dari Cinta
adalah maghfirah. Sebuah pengampunan. Diampunkan masa laluku. Kerna
waktu itu terlalu pahit untuk aku telan, terlalu berat untuk aku pikul.
Makanya aku mengharap cinta bisa buat aku bahagia. Sungguh aku tak tahu
bagaimana untuk aku tahu sama ada dosa-dosa itu telah diampun atau
sebaliknya. Dan untuk ku, aku redha dengan tulisan hidupku. Kerna gelap
itu aku kenal cahaya. Kerna waktu itu aku disini hari ini, dan dengan
itu aku masih teguh berdiri. Melihat hikmah semalam aku jadi kuat. Walau
kadang kala aku malu untuk menghadap Dia dalam sujudku. Malu untuk
mengangkat telunjuk janjiku. Malu untuk seiring dengan mereka dijalan
ini.
Tapi lekas aku pujuk diriku, kerna aku
tahu kalau bukan pada Dia pada siapa lagi harus ku adu resah yang
bersarang dihati. Kalau bukan jalan ini jalan mana lagi yang mahu aku
tempuhi. Kerna ini jalanku. Jalan yang aku pilih. Dan aku yakin dengan
apa yang aku percaya.
Perjalanan cintaku panjang. Dipenuhi
duri, dibanjiri air mata. Makanya tak mahu ku persiakan langkah ini.
Hingga aku berdiri saat ini disini, sudah terlalu banyak tarbiyah dari
Allah untukku. Aku kembali berbisik pada diriku,
"Nur, kamu harus kuat!"
Ya aku harus kuat. Harus terus tabah
dalam menempuh jalan cinta ini. Kerna aku pasti selain onak dan duri,
jalan ini juga menyajikan manisnya buah ukhuwah. Ukhuwah yang dipayungi
lembayung cinta. Diulit tenangnya angin. Dibalut kehangatan kebersamaan
dalam satu ikatan aqidah. Dan bersama mereka aku kuat.
Dan jika ditanya bagiku apa itu cinta,
"Cinta bagiku ibarat cahaya
Yang menyuluh tatkala aku meraba dalam gelap
Yang menyinar tatkala aku disapa duka
Cinta yang sentiasa memujuk ku dengan Ayat-Ayat CintaMu
Cinta bagiku umpama semilir pagi
Yang manyapa penuh lembut
Mambawa ketenangan hingga malam menjelma
Hembusan semilir pagi
Sejuknya menyegarkan
Cinta bagiku terlalu indah
Hingga walaupun sakit aku bahagia
Makanya biarkan aku terus mencari cintaku
Meskipon sakit biarkan kesakitan itu sampai kebal dariku
Meskipon menuntut pengorbanan biar aku berkorban sampai terkorban
Kerna percaya aku pada janjiNya
Cukuplah Allah bagiku
Akan Dia hiasi jalan cintaku dengan bintang hatiku"
Khatimah Cinta
Setelah semalam aku lalui, Allah
hadiahkan aku dengan sesuatu yang sangat berharga. Allah hadiahkan aku
dengan bintang-bintang yang menghiasi langit cintaku. Dengan mereka
jalan ini terasa sangat indah.
Bersama mereka aku meniti hari
meneruskan pengembaraan dalam mencari cinta. Perjalanan itu takkan
tamat disini kerna rencana Allah itu pasti telah tersusun indah.
Cumanya cukuplah sampai disini dicoretkan perjalanan cinta ini. Bukan
bermakna perjalanan ini sudah terhenti, kerna kini aku punya mimpi. Dan
dengan mimpi itu aku meneruskan melangkah. Aku punya impian dan dengan
impian itu aku bina hari esok. Bermula dengan mimpi aku terus meniti
hari, mencari dan menanti menuju obsesi yang pasti.
Kerna ku percaya akulah yusuf yang bisa mentafsir mimpiku menjadi realiti!
Kecintaan
pada Allah itu terwujud pada seorang hamba yg meninggalkan hawa nafsu,
ia berhubungan dgn zikir pada Tuhannya, ia memandang Allah dgn
hatinya. Apabila ia berbicara, maka ia berbicara dgn Allah. Apabila ia
berbincang, ia berbincang tentang Allah. Apabila ia bergerak, maka ia
bergerak kerana perintah Allah. Apabila ia diam, maka ia diam bersama
Allah. Jadi, dia DENGAN ALLAH, UNTUK ALLAH dan BERSAMA ALLAH.”
-al-Junaid al-Baghdadi-
Ibnu Abbas berkata, "Ketika aku masih
kecil, Nabi S.A.W. berkata padaku, "Wahai ghulam, aku akan mengajarkan
padamu beberapa kata: Jagalah Allah, maka dia akn menjagamu; jagalah
Allah, maka kau akan dapatkan Dia dihadapanmu; jika kau
meminta,mintalah kepada Allah; jika kau minta pertolongan, mintalah
pertolongan pada Allah.Ketahuilah sekiranya satu ummat berkumpul ingin
memberi manfaat, mereka tidak akan memberi manfaat kecuali telah Allah
tulis untukmu. Demikian pula sekiranya mereka berkumpul ingin
mencelakakanmu, mereka tidak akan mencelakakanmu kecuali dengan apa
yang telah Allah tulis untukmu. Pena telah terangkat dan kertas telah
kering."
HR. At-Turmudzi dan Imam Ahmad
"Ya Allah berilah aku cintaMu, dan cinta orang yang cintanya
memberi kebaikan padaku disisiMu. Ya Allah, apa yang Kau berikan
padaku dan aku senangi, maka jadikanlah itu kekuatan bagiku untuk
melakukan apa yang Kau sukai. Ya Allah apa yang kau jauhkan dariku dari apa yang aku senangi, maka jadikanlah itu kelapangan dari apa yang Kau sukai."
Kerna cukuplah bagiku ALLAH
Allah redhakanlah perjalanan ku dalam mencari cintaMu
TAMAT