Tuesday, January 25, 2011

Lemah


Lemah atau kuat. Itu bukan soalnya. (Errr.. kenapa stat post mcm tu atiqah...)

Berdiri atas kelemahan diri, dan mengatasinya untuk menjadi yang TERBAIK. Kerna yang TERBAIK itu tidak NAMPAK lemah bukannya tidak lemah. Kerna manusia diciptakan bersama seribu kelemahan dan setiap satunya hanya diangkat dengan IMAN.

Lemah. Manusia yang lemah bukanlah mereka yang tidak mempunyai badan sasa atau gagah,   sebaliknya mereka yang lemah ialah mereka yang kecil hatinya. Orang yang berhati kecil tidak akan boleh bermimpi yang BESAR-BESAR. Ya, lemah itu bukan pada anggota tapi pada hati. Ya! Orang yang berbadan kecil tidak semestinya mempunyai hati yang kecil. (ya kecil bukan rendah! ops! statement bela diri disitu :p) Orang yang besar hatinya, besar impiannya mampu menjulang mimpi hingga ke langit. Duduk setara dengan bulan dan bintang. Dan cita-cita apakah yang paling besar selain syurga dan keredhaan dari Tuhannya?

Berdiri atas kelemahan untuk menjadi kekuatan.

Tidak boleh, tidak bisa, dan tidak pandai. Itu bukan alasannya. Kerna kita sebaik-baik kejadian di dunia. Yang disertakan bersama seribu satu kebolehan untuk menjadi khalifah TERBAIK di bumi  Allah ini. Allah menguji manusia pada titik kelemahannya hingga titik kelemahan itu terpadam daripadanya. Walau dalam tangis. Walau dalam lelah. Jadi berhenti mencipta alasan dan mula berhadapan dengan segala kelemahan. Percaya atau tidak, manusia itu suka memberi alasan, tetapi tidak pernah mahu menerima. Lemah bukan alasan untuk tidak menjadi yang TERBAIK, kerna yang terbaik itu bukan tidak lemah tetapi tidak NAMPAK lemah. 

Allah menyedarkan kita pada kelemahan kita, bukan untuk kita tangisi, dan bukan juga untuk kita menjauhkan diri, sebaliknya untuk kita sama-sama atasi. Begitulah indahnya Dia susun setiap satu di dunia. Berhenti berlari kerna setiap masalah itu pasti ada penyelesaiannya. Mencari hikmah disebalik cerita. Bangun untuk berhadapan dengan kenyataan. Jalan itu pasti akan terbuka jika kita dekatkan diri pada Pencipta kita. Kerna Dialah yang memegang rahsia seluruh alam. Kerna hanya Dialah yang mengetahui apa yang tersembunyi. Kerna hanya Dialah kekuatan seorang mukmin. Dan diciptakan setiap satunya di dunia ini bersama pasangannya. Agar kita mampu saling melengkapi.  Saling mencukupi. Seumpama indah sinar bulan ditemani bintang menghiasi malam. Seumpana awan putih setia mengiringi langit biru. Seumpama ombak saban hari memecah pantai. Dan aku punya teman seperjuangan ku dalam meniti perjalanan ini. Mereka yang sentiasa disisi. Dan merekalah bintang yang menghiasi langit malam di sini.

Berdiri atas kelemahan diri, agar kamu bisa terus berlari melakar mimpi.

Kekuatan. Kekuatan itu bukan dariku, dan bukan juga milikku. Dari Dia yang Maha Kuat, Maha Mengetahui. Dan padanya juga ku pohon kekuatan. Meskipon adakalanya aku lemah, namun aku takkan tunduk pada lemahnya diriku. Kerna aku harus bangkit, menuju Tuhanku.Tidak terus diulit kelemahan hingga selesa dalam zon yang lemah, sebaliknya bangkit menuju kekuatan untuk menjadi yang TERBAIK.

Orang yang kuat ialah orang yang tidak NAMPAK lemah. Kelemahan bukan untuk disembunyikan tetapi untuk diatasi. Dan kekuatan itu berpunca dari HATI. Dan untuk mempunyai HATI yang kuat (mcm harimau... err.. perlu ke?) keyword nya hanya satu, ALLAH. 

Tepuk dada, tanya hati.

Dan aku, aku berdiri atas kelemahanku. Sebagai seorang hamba. Hamba yang penuh kekhilafan. Dan atas kelemahan itulah aku bangkit dari kegelapan. Atas kesedihan itulah aku bangkit mengenal cahaya. Ya, begitulah sayang. Manusia, tiada yang sempurna. Jangan memandang kelemahan orang lain sebagai kekurangan, tidak memandang kelebihan diri sebagai kebanggaan. Sebaliknya, balikkan segalanya pada Tuhan. Di situ kamu akan ketemu sebuah jawapan.

Monday, January 17, 2011

Menjadi yang TERBAIK

Menjadi manusia terbaik. Ya! saya mahu menjadi manusia yang terbaik, makanya saya harus buat yang terbaik. Amat berbeza jika saya katakan saya mahu buat yang terbaik untuk jadi manusia yang terbaik. Err.. pening? layaaan...

Meletakkan matlamat diiringi dengan usaha. ATAU. Meletakkan usaha untuk mencapai matlamat. Oh tak kisah lah kalau anda kata itu sama tapi bagi saya keduanya punya perbezaan yang sangat besar. 

Meletakkan matlamat diiringi dengan usaha. 
Meletakkan matlamat yang BESAR akan mendorong kepada usaha yang BESAR. Apabila mimpi kita BESAR, langkah kita juga harus BESAR. (perlu ke BESARkan perkataan BESAR tue atiqah.. haih..)

Mimpi yang BESAR. Namun, dimanakah kayu ukur keBESARan mimpi itu. Mimpi kita tidak hanya pada dunia, kerna percaya kita pada syurga. Yang menjadi obsesi kita. Tempat rehat yang abadi. (^_^)//

” Dan tidaklah kehidupan di dunia ini,melainkan ia hanya berupa permainan dan hiburan, sedangkan kehidupan di akhirat merupakan kehidupan yang sebenar kiranya mereka mengetahui.”

Al-Ankabut:64

Meletakkan usaha untuk mencapai matlamat
Apabila kita meletakkan usaha sebelum matlamat, kita akan cenderung untuk mambataskan matlamat kita, kerna adanya pepatah ukur baju dibadan sendiri. Kerna orang selalu kata, buat sesuatu berdasarkan kemampuan kita. Percaya atau tidak, lebih ramai manusia yang lebih cenderung mengehadkan kemampuan diri, berbanding mengeluarkan semua potensi diri. Ya kamu boleh! Kita boleh! Kerna manusia itu adalah sebaik-baik kejadian. 

Buktinya didalam surah At-Tinn ayat 4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami telah jadikan manusia dengan sebaik baik kejadian “

Adakah kamu masih ragu?

Hadkan matlamat itu pada sesuatu yang diluar paksi al-haq. Mengehadkan matlamat yang hanya kerana Allah semata-mata. Kerna bukankah hidupku, solatku, dan matiku hanya kerana Allah.

Letakkan matlamat pada  mimpi yang BESAR. Kerna tugas manusia itu BESAR. Tidak cukup sekadar menjadi yang biasa-biasa saja. Harus jadi manusia yang HEBAT, kerna syurga hanya menerima manusia yang HEBAT sebagai penghuninya. 

Lihat saja bagaimana Rasulullah mengajar kita untuk aim high. 

Baginda Rasulullah saw. bersabda, “Konstantinopel benar-benar akan ditaklukkan. Sebaik-baik amir (khalifah) adalah amir (khalifah) yang memimpin penaklukkannya dan sebaik-baik tentera adalah tentera yang menakluknya.” (HR al-Bukhari, Ahmad, dan al-Hakim).

Rasulullah mengajarkan pada kita untuk percaya sebelum melihat sesuatu, dan kita bekerja untuk melihat apa yang kita percaya.
Kerna kita percaya adanya syurga, makanya kita berusaha untuk menjadi salah seorang dari ahlinya. Dan cara yang paling efektif utnuk menjadi ahli syurga ialah mentauladani mereka yang telah dijamin syurga oleh Allah. Ataupon dengan kata lainnya belajar daripada seerah.

Kerna kita juga percaya Islam pasti akan menang, menguasai dunia. Makanya kita bekerja untuk menjadikan islam sebagai ustaziatul alam. Melangkah tangga demi tangga hingga islam menjadi kuasa tertinggi. Hingga terbinanya negara dimana pemerintah tertingginya Allah, undang-undang tertingginya al-quran dan as- sunah, dan rakyatnya disatukan di bawah satu aqidah. 

Beranilah untuk bermimpi yang BESAR!

Allah menguji manusia pada titik lemah manusia supaya manusia mengatasi kelemahannya dan menjadikan manusia itu hebat. Tetapi manusia selalu lari dari kelemahan dirinya untuk membuktikan dirinya hebat. 

Melodi mimpi kian indah belagu
Derap kaki diatur lebih teliti
Menarikan lagu melodi mimpi
Ayuh!
Bersama kami menarikan mimpi ini
(^_^)//
Islam pastikan menang
Allahu akbar!

p/s: Allah.. jadikan kemahuanMu keinginanku, perintahMu amalanku.

p/s lagi: mode keje banyak macam gunung. yosh!!!

Tuesday, January 11, 2011

What goes around comes around

Menyayangi dan kamu akan disayangi

Berhenti menyakiti dan kamu tidak akan disakiti

Memaafkan dan kamu akan dimaafkan

Indahnya dunia

Memberi dan menerima itu fitrahnya

Dan susunan Allah

Itulah yang terbaik.

What goes around comes around. Pepatah yang sering kita dengar. Sunnatullah yang disusun begitu indah. Tapi lihat ya bagaimana Allah ajarkan seorang muslim hingga menjadikan pekerti kita paling mulia antara manusia yang lainnya. 

Tolaklah (hai Muhammad) kejahatan mereka dengan cara yang lebih baik. Kami mengetahui benar apa yang mereka gambarkan. Katakanlah olehmu, “Ya Allah Tuhanku, aku mohon perlindungan kepada Engkau dari bisikan setan (yang memperdayakan). Dan aku mohon perlindungan dari Engkau wahai Tuhanku, dari kehadiran setan-setan itu. 
23: 96-98

Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah menjadi teman yang sangat setia.
41: 34

Kerna kekerasan mampu ditumpaskan oleh kelembutan.

Memetik kata-kata pujangga,
Jika kejahatan di balas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim. Tapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.
Adakalanya manusia sering merungut, mengeluh apabila mendapat sesuatu lain dari yang diharapkan. Kecewa, sedih, marah. Hingga kita lupa, kadang-kadang apa yang kita inginkan itu tidak semestinya yang terbaik buat kita, sedangkan Allah Maha Tahu dan Dialah yang mengatur seisi alam, segala yang ada di langit dan di bumi, serta yang ada diantaranya. Aturan Allah itulah yang terbaik. Dan tiada yang mungkin terjadi lebih baik dari apa yang telah terjadi. 

Sebagai seorang hamba tidak layak kita mempersoalkan itu dan ini, sebaliknya balikkan segalanya pada Allah. Apabila diuji dengan kekurang, percayalah kecukupan itu bukan dari bilangan tapi KEBERKATAN. Apabila diuji dengan kegagalan, percayalah yang membezakan antara manusia itu IMAN. Apabila ditinggalkan orang yang disayangi diharapkan, percayalah biar seisi dunia membuangmu, Allah sentiasa ada untukmu. Manusia itu sentiasa diuji pada titik lemahnya. Dan bersama-sama kesukaran pasti ada kemudahan.

"...Allah menimpakan kepadamu kesedihan demi kesedihan agar kamu tidak bersedih hati lagi terhadap apa yang luput dari kamu dan terhadap apa yang menimpamu....."
3:153

Syaitan akan sentiasa menghiasi futurmu. Mencucuk-cucuk amarahmu. Menambah air mata pada kecewamu. Bisikan-bisikan itu tolaklah dengan husnuzon. Kerna sebahagian besar dari prasangka adalah dosa. Bersabarlah dengan sebaik-baik sabar. Kerna tiada batasan dalam kesabaran.

 Pekerti seseorang itu menggambarkan apa yang dibawanya. Kerna kita membawa benda yang BESAR! 

dan melodi MIMPI itu semakin indah berlagu

dan hati ini semakin tenang walau diuji

kerna saya ada mereka sahabat yang saya sayangi

dan dia, bintang hati saya

Thursday, January 6, 2011

redha

Assalamualaikum..

Apa khabar dirimu wahai hati..? Oh ya.. Hari ini atiqah punya banyak kerja yang harus disetlekan. namun hari ini hati sangat terpanggil untuk menulis disini. 

PASRAH TERHADAP KETENTUAN ILAHI

REDHA DENGAN YANG SEDIKIT

BERSERAH SEPENUHNYA PADA ALLAH

Ungkapan yang mudah tetapi pelaksaannya tak semudah lidah berkata. REDHA. Sejauh mana hati ini benar-benar mengimani ketentuan takdir dan meredhakan dengan apa yang telah terjadi. Saikin.. Terlalu banyak yang Allah uji dan keyword nya ialah REDHA.

Ya redha

Apabila satu ketika Allah tarik dia dari saya. Saya jadi tak keruan. Dialah adik. Dialah tunggak harapan saya selama ini. Dan dalam sekelip mata Allah bawa dia berjumpa denganNya. Saat itu benar hati saya benar-benar teruji. Subhanallah. Hanya Allah yang Maha Tahu. Dan setiap kali tarikh keramat itu menghampiri hidup saya jadi tidak keruan. Saya jadi terlalu mudah tersentuh. Terlalu mudah menangis. Dan sangat susah untuk melelapkan mata saya kerna setiap saat pada waktu itu masih terbayang jelas dalam ingatan saya. Saya benar-benar terkilan kerana tidak berada disisinya saat akhir hayatnya. Dan saya tanya pada diri saya. Adakah saya tidak redha dengan ketentuan Allah itu. Puas saya muhasabah. Astaghfirullah hal a'zim. Tidak sepatutnya atiqah begitu. Sesungguhnya tulisan Allah itulah yang terbaik. Dan setiap manusia itu akan mati. Kerna mati itu pasti. Maut itu dekat. 

Allah
Saat kerinduan ini menyapa hatiku
Kuatkan aku Allah
Kau terangi dia di alam sana
semoga kau golongkan dia dalam kalangan hambamu yang beriman.

***************

Dihimpit oleh itu dan ini di sana dan di sini. Subhanallah. Sesungguhnya manusia itu tidak akan terlepas dari diuji. Merasakan satu demi satu dia yang saya sayangi pergi meninggalkan saya. Keliru untuk mengorak langkah kerna bimbang di sana dan di sini terluka. Pantas segera saya mengetuk hati saya kembali. Kerna terdetik dalam hati ini itu dan ini. Terlalu pantas menilai perbuatan manusia. Sedangkan tidak seharusnya saya begitu. Kerna tiap satu yang berlaku semuanya adalah atas keizinan yang Maha Kuasa. Sedangkan tiada sehelai daun sekalipon yang gugur ke bumi melainkan semuanya dengan keizinan Dia yang Maha Kuasa. Disitu ada tarbiyah untuk saya. Lantas pantas saya perbetulkan langkah. Perbetulkan hati. 

"Peliharalah Allah, nescaya engkau akan dapatiNya di hadapan engkau. Kenalilah Allah ketika senang, nescaya Dia akan mengenalimu di ketika susah. Ketahuilah bahawa apa-apa yang (ditakdirkan) tidak menimpamu, ia tidak akan menimpamu. Dan apa-apa yang menimpamu bukannya ia tersilap menimpamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu ada bersama kesabaran, terlepas dari kesempitan itu ada bersama kesusahan dan bersama kesusahan itu ada kesenangan."

Dan biarlah seisi dunia ini meninggalkan saya sekalipon, saya masih punya Tuhan saya selagi saya menjaga hubungan saya denganNya. Dia yang sentiasa memujuk saya dengan ayat-ayat cintaNya, Dia yang menulis setiap kejadian dengan begitu sempurna, Dia yang menyusun tulisan takdir dan menjadikan hidup ini lebih indah terasa. 

Begitulah bagaimana Dia mengajar saya untuk pasrah.

******************

ya saikin terlalu banyak yang berlaku. Tetapi itu semua tak pernah melemahkan saya lagi. Kerna begitulah Dia ajarkan saya apa itu kehidupan, membuatkan saya rindu untuk ke syurgaNya. 

Dan untuk ke syurga, saya harus bekerja ke arahnya.

Mengimani ketentuan Ilahi membuatkan hidup saya lebih tenang. 
Walau ada kalanya saya goyang, namun saya percaya ketentuan ALLAH itulah yang terbaik untuk saya. 

Dan atas segala yang tertulis untuk saya,
Saya bersyukur dan saya redha.

Saya mungkin ada sejarah hitam yang setiap kali saya kenang membuatkan air mata saya bergenang, tapi kerna hitamnya semalam saya kenal cahaya cinta ini. 

dan dengan cinta itu saya membentuk mimpi esok. Mimpi saya besar. Melihat tertegaknya kalimah agung. Mencipta sebuah daerah, yang pemimpin tertingginya ALLAH, undang-undang tertingginya al-Quran dan sunnah, dan penduduknya hidup dalam satu ikatan aqidah yang sejahtera. 

::ALLAH::

Firman Allah SWT
Iblis berkata: Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis (berserah kepada Allah) di antara mereka.
(QS: Shaad 38:82-83)

Allah..
......ajarkan hati ini untuk ikhlas.....